PUTRAJAYA, 12 Mac- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menghulurkan bantuan kepada mangsa kebakaran yang juga penjawat awam, Zul Izmal Mohd Bakri di Putrajaya.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Setiausaha Politiknya, Muhammad Kamil Abdul Munim.
"Jadi hari ini, saya datang bagi pihak Yang Amat Berhormat Perdana Menteri menghulurkan sedikit sumbangan. Bantuan itu melalui peruntukan khas daripada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk saudara Zul. Mudah-mudahan dapat sedikit meringankan beban dan menampung keperluan, sementara menunggu siasatan lanjut dari pihak bomba dan seterusnya kerja-kerja pembaikan", kata Muhammad Kamil semasa ditemui di sini.
Sementara itu, Zul Ikmal, 45 tahun berkata, ketika kejadian, dia dan keluarga tiada di rumah. Manakala, anak buahnya berusia 22 tahun terperangkap di dalam bilik air, namun berjaya diselamatkan pihak bomba.
"Kejadian berlaku pada Jumaat lepas, pukul 9.30 pagi, kebetulan saya berada di pejabat, dapat panggilan dari jiran. Jadi saya terus balik ke rumah dan bomba cuba memadamkan kebakaran. Alhamdulillah ada seorang di rumah dan selamat, tiada kecederaan. Bomba dapat selesaikan dengan cepat kebakaran, ruang tamu 80 peratus terbakar", katanya.
Selain itu, Zul Ikmal turut menerima bantuan persekolahan dari Biro Pendidikan UMNO Putrajaya dan penempatan sementara daripada Perbadanan Putrajaya.
Datuk Seri Anwar kini dalam rangka lawatan rasmi enam hari ke Jerman, yang merupakan rakan perdagangan terbesar Malaysia dalam kalangan anggota Kesatuan Eropah (EU).