fb fb fb fb fb

Dua lelaki bersama dadah ditahan

KEPALA BATAS, 6 Januari - Polis menahan dua lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM104,879 dalam serbuan di belakang sebuah restoran di kawasan Raja Uda, Butterworth dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Mohd Radzi Ahmad berkata bertindak hasil maklumat dan risikan yang dijalankan, polis menyerbu restoran itu pada 5.30 petang dan semasa serbuan, premis perniagaan terbabit tidak beroperasi dan hanya terdapat dua lelaki di situ.

"Pemeriksaan mendapati terdapat dua lelaki iaitu berusia 22 tahun yang bekerja sebagai penunggang e-hailing dan rakannya berumur 25 tahun, mereka dipercayai sedang menunggu pembeli untuk menjual bekalan pelbagai jenis dadah.

"Dalam serbuan itu, polis merampas 88 bungkusan heroin seberat 4,995 gram (g), ganja (1,009 g), dan syabu sebanyak 984 g yang kesemuanya bernilai RM104,879 yang ditemukan di dalam sebuah kereta," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata dalam serbuan itu, polis turut merampas kereta jenis Toyota Vios bernilai RM90,000 yang digunakan mereka dipercayai dicuri kerana kenderaan itu dilaporkan hilang di Johor pada 2020.

Mohd Radzi berkata berdasarkan siasatan, dua lelaki itu dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah sejak Disember lepas untuk pasaran di sekitar negeri ini.

Katanya, kedua-dua lelaki itu mempunyai dua rekod jenayah dan mereka kini direman hingga 10 Jan bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan rangkaian sindiket pengedaran dadah terbabit termasuk pembekal bahan terlarang itu yang dipercayai diperoleh daripada suspek yang tinggal di bahagian pulau," katanya dan menambah semua dadah itu boleh digunakan oleh 34,940 penagih.

(FOTO HIASAN)

Sementara itu, menurutnya sepanjang tahun lepas pihaknya menahan seramai 2,983 orang membabitkan kes dadah dengan jumlah mereka yang memiliki bahan terlarang itu paling ramai ditangkap iaitu 1,208 individu manakala sebanyak 2,628 kertas siasatan dibuka. - BERNAMA

Media Baharu