fb fb fb fb fb

Dua lagi PPS dibuka di Alor Gajah

(Penduduk terjejas banjir ditempatkan di PPS di Alor Gajah)

ALOR GAJAH, 27 Oktober- Balai Raya Kampung Gadek dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pengkalan dibuka di Alor Gajah sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) berikutan banjir di lima kawasan di daerah itu.

PPS Balai Raya Kampung Gadek dibuka kira-kira 11.00 pagi tadi dan menempatkan 40 mangsa daripada 19 keluarga manakala PPS SMK Seri Pengkalan diaktifkan pada 1.45 tengah hari, namun belum menempatkan penduduk terjejas banjir.

Perkara itu dimaklumkan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka dalam satu kenyataan.

Jumlah penduduk terjejas banjir di PPS Balai Raya Kampung Tanjong Rimau Luar meningkat kepada 76 orang daripada 28 keluarga pada pukul 4.00 petang tadi berbanding 36 mangsa daripada sembilan keluarga pada pukul 12.00 tengah hari.

Kesemua mangsa adalah dari Kampung Tanjong Rimau, Kampung Gadek, Kampung Nelayan Kuala Linggi, Kampung Sungai Siput dan Pengkalan.

JPBN Melaka menjangkakan peningkatan jumlah penduduk terjejas banjir dari semasa ke semasa.

(Anggota APM membantu penduduk terjejas banjir di Melaka)

Media Baharu