fb fb fb fb fb

Dua kontraktor perumahan PR1MA disenarai hitam, gagal patuhi syarat

KULIM, 5 Julai- Dua kontraktor pembinaan di Kedah ditamatkan perkhidmatan dan seterusnya disenarai hitam selepas gagal menyiapkan projek perumahan di bawah Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) mengikut jadual ditetapkan.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata pihak PR1MA kemudian melantik kontraktor baharu serta-merta bagi meneruskan projek perumahan sakit tersebut.

Tiga projek perumahan sakit berkenaan melibatkan dua di Kulim menerusi Projek Residensi Seri Mahkota, Sungai Ular dan Projek Residensi Junjong, Kulim serta Residensi Simpang Empat 2, Alor Setar.

“Projek di Sungai Ular telah memperoleh Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) pada 15 Mac lalu bagi unit rumah dan kemudahan dewan, baru-baru ini.

Namun, Serahan Milikan Kosong (VP) masih belum diberi kepada pembeli kerana hasil tinjauan menemui kerosakan dan kecacatan," kata Akmal kepada pemberita pada sidang media di selepas sesi lawatan kerja di Residensi Junjong di Kulim.


(Timbalan Menteri KPKT, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir melawat tapak projek sakit)

Kontraktor baharu diarah untuk membaik pulih segala kerosakan dan PR1MA dinasihat untuk memantau gerak kerja itu bagi mengelakkan perkara sama berlaku ketika sesi penyerahan kunci kepada pembeli.

Projek Residensi Simpang Empat 2 di Alor Setar dilapor mengalami masalah kelewatan berikutan beberapa isu antaranya melibatkan pengambilan tanah laluan masuk ke tapak projek.

Bagaimanapun, pihak PR1MA telah mengambil inisiatif menyelesaikan masalah tersebut.

Seramai 499 pembeli Residensi Junjong dan 190 pembeli Residensi Simpang Empat 2 telah menerima pembayaran awal Sebahagian Gantirugi Tertentu dan Ditetapkan (PLAD) bagi mengurangkan beban kewangan akibat kelewatan penyiapan projek.

Sehingga Jun, PR1MA telah menyiapkan sembilan daripada 20 projek sakit di seluruh negara dan kesemua baki projek sakit di bawah PR1MA dijangka selesai menjelang akhir tahun depan.

Media Baharu