SEPANG, 16 April- Dua keluarga mangsa kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya hari ini menerima kunci dan memasuki penempatan sementara di Pangsapuri Seri Suria, Kota Warisan, Sepang.
Sesi penyerahan kunci yang ditawarkan kerajaan negeri Selangor itu disempurnakan Exco Perumahan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah di pangsapuri berkenaan.
Menurut Borhan, setakat ini, sebanyak 75 permohonan bantuan rumah sementara telah diterima daripada penduduk yang terjejas akibat insiden tersebut.
"Saya harap dapat lagi membantu selain pada skim yang diberi bantuan kerajaan sebanyak RM2,000 selama enam bulan. Jadi kalau mereka menyewa RM850 ada lebihan itu mungkin dari segi pembayaran api, air, pengangkutan dan sebagainya. Ini boleh meringankan sedikit beban penduduk terjejas dari Putra Heights," katanya kepada pemberita di sini.
Sebanyak 100 unit Pangsapuri Seri Suria ditawarkan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor kepada penduduk terjejas.
Namun kerajaan negeri akan melakukan semakan dengan pejabat daerah bagi memastikan hanya mangsa yang berdaftar menerima bantuan berkenan.
Sementara itu kadar sewa yang ditetapkan ialah RM850 sebulan berbanding kadar sebenar iaitu RM1,200 serta pengecualian deposit turut diberikan kepada penduduk terjejas berdaftar untuk bantuan rumah sementara.
Menerusi penyerahan kunci smart sewa ini, penduduk yang terkesan akibat insiden tersebut mampu membuka lembaran baharu dalam kehidupan selepas ini.
Penduduk terjejas kebakaran paip gas Abu Samah Rahmat berkata, bantuan berkenaan memberikan nafas lega selain memudahkan urusan untuk ke tempat kerja.
"Perasaan sudah tentunya gembira. Jadi dengan penyediaan rumah ini ia meringankan. Lokasi ini pula dekat dengan tempat kerja," katanya.
Bagi Muhammad Ridzuwan Salehhudin pula, bantuan rumah berkenaan memberi kelegaan kepadanya.
"Saya berpuas hati sebab rumah ini pun besar. Kalau nak cari rumah saiz ini agak susah. Jadi alhamdulillah," katanya.
Rumah berkenaan mempunyai keluasan 1,000 kaki persegi, dengan tiga bilik dan dua bilik air yang lengkap dengan kipas dan lampu serta dua lot tempat kenderaan.