KUALA LUMPUR 25 Mac- Dua kawasan di Sabah merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat pukul 9.00 pagi ini.
Menurut laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (Apims) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Politeknik Kota Kinabalu dan Kimanis masing-masing mencatatkan bacaan IPU 112 dan 113.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan kebakaran di tapak pelupusan sampah Kayu Madang, kira-kira tiga kilometer (km) dari Politeknik Kota Kinabalu masih berlaku setakat awal pagi tadi.
"Pada masa ini, pemantauan dari udara menggunakan Drone Autel Evo Max 4T dari unit Drone JBPM. Kebakaran masih lagi berlaku," kata JBPM Sabah menerusi Facebooknya awal pagi tadi.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, BBP Lintas dan BBP Tuaran telah dikerahkan ke lokasi kejadian untuk mengawal api daripada merebak.
Terdahulu, BBP Kota Kinabalu menerima panggilan kecemasan melalui daripada talian MERS999 pada pukul 4.19 petang semalam sebelum bergerak ke lokasi sejauh 28km.