KOTA TINGGI, 20 Oktober - Dua kapal pengangkut di Tanjung Sedeli ditahan kerana bersauh tanpa kebenaran.
Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata kapal pengangkut pertama yang berdaftar dari Monrovia ditahan pukul 1.00 tengah hari pada kedudukan 25.2 batu nautika timur laut Tanjung Siang.

Manakala kapal pengangkut kedua yang juga didaftarkan di Monrovia ditahan pada kedudukan 22.8 batu nautika timur laut Tanjung Balau, pukul 2.45 petang.
Kedua-dua nakhoda kapal terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh di perairan negara ini ketika diperiksa.
Operasi tersebut merupakan penahanan keenam bulan ini dan menjadikan jumlah keseluruhan 71 kapal ditahan sepanjang tahun ini, atas kesalahan serupa.
Kes disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.