fb fb fb fb fb

Dua jam, satu tan ikan bandaraya ditangkap

Hasil tangkapan ikan bandaraya menerusi Projek Pleco Pupus 2024: Nurturing Rivers, Empowering Communities/ Foto UMSDC

KUALA LUMPUR, 30 Ogos- Pertandingan menjala ikan bandaraya melalui Projek Pleco Pupus 2024: Nurturing Rivers, Empowering Communities julung kali diadakan berjaya menangkap satu tan ikan bandaraya dalam tempoh dua jam.

Pegawai Penyelidik, Pusat Pembangunan Lestari Universiti Malaya (UMSDC) Affan Nasaruddin dalam satu kenyataan berkata, pertandingan itu merupakan inisiatif bagi mengurangkan populasi ikan asing berkenaan selain menyeimbangkan ekosistem, biodiversiti akuatik, dan populasi ikan tempatan.

"Melalui pendekatan berkonsepkan pertandingan, ianya memberi insentif kepada komuniti untuk bersama-sama membantu mengurangkan populasi ikan asing ini.

"Seramai 32 orang peserta yang terdiri daripada orang awam telah menyertai pertandingan ini yang berlangsung di Sungai Damansara, Shah Alam. Menariknya, dalam tempoh masa hanya dua jam, lebih satu tan ikan bandaraya berjaya dikeluarkan dari sungai ini.

"Jumlah sebesar ini sebenarnya bukan satu perkara yang ingin kita banggakan, tetapi sebagai peringatan yang situasi ikan asing ini sudah berada pada tahap yang kritikal dan amat merisaukan," katanya.

Pertandingan yang dianjurkan Universiti Malaya (UM) melalui Pusat Pembangunan Lestari Universiti Malaya (UMSDC) bersama-sama Universiti Selangor (UNISEL), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Komuniti Pemburu Ikan Bandaraya (KPIB) mendapat tajaan Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) dan Landasan Lumayan Sdn. Bhd.

Kewujudan komuniti aktif seperti KPIB merupakan tonggak utama bagi membantu mengurangkan populasi ikan bandaraya serta menyampaikan kesedaran dan pendidikan kepada masyarakat.

3008 UM IKAN BANDARAYA 2Peserta yang menyertai pertandingan menjala ikan bandaraya melalui Projek Pleco Pupus 2024: Nurturing Rivers, Empowering Communities

Sementara itu, kerajaan Selangor menawarkan insentif RM1 bagi setiap kilogram tangkapan ikan bandaraya bermula 1 September ini sebagai langkah memulihara sungai dan spesies ikan tempatan.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor Ir. Izham Hashim berkata, kerjasama semua pihak diperlukan bagi memulihkan ekosistem sungai khususnya di Selangor.

"Program seumpama ini diharapkan dapat menjadi titik tolak kepada lebih banyak lagi inisiatif lestari pada masa hadapan. Saya percaya dengan kesedaran dan tindakan yang berterusan, kita mampu memastikan pengurangan populasi ikan bandaraya.

"...dan seterusnya kelestarian biodiversiti di sungai dapat dinikmati generasi akan datang," katanya dalam ucapan penutup pada pertandingan tersebut.

Majlis itu turut dihadiri Pengarah, Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor; Ketua Jabatan Pengurusan Projek, Landasan Lumayan Sdn. Bhd. Azhan Md Noor, wakil UTHM Profesor Madya Ts. Dr. Muhammad Abdul Latiff dan Pengasas Komuniti Pemburu Ikan Bandaraya Mohamad Haziq A Rahman.

Ikan bandaraya merupakan salah satu ikan asing yang mendominasi perairan utama di Lembah Klang dan pembiakannya secara berleluasa menyebabkan kerosakan, ketidakseimbangan ekosistem biodiversiti akuatik, dan menjejaskan populasi ikan tempatan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI