fb fb fb fb fb

GIATMARA Perlis semarakkan sambutan Hari Kebangsaan ke-67

Foto RTM

KANGAR, 30 Ogos- Menjelang sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 esok, seramai 100 pelatih, tenaga pengajar dan pengurusan GiatMARA Kangar, Arau dan Padang Besar menjayakan Program Sepagi Santai Merdeka.

Program dilaksanakan bagi memupuk semangat patriotik dan cintakan tanah air dalam kalangan warga kerja dan pelatih GiatMARA Perlis khususnya dikalangan generasi muda.

Menurut Pengarah GiatMARA Negeri, Harun Radzi, mempertahankan kemerdekaan negara bukanlah sesuatu perkara yang mudah dan cabaran ini perlu digalas oleh generasi yang ada hari ini.

"Selain melatih belia yang berkemahiran tinggi dalam bidang TVET, GiatMARA Perlis turut memberi tumpuan kepada pembentukan jati diri belia yang mempunyai Jiwa Merdeka, sentiasa bersedia berkorban demi mempertahankan kedaulatan negara."

Beliau memaklumkannya pada Program Sepagi Santai Merdeka di Pusat GiatMARA Kangar bertemakan tradisi Melayu bagi mengembalikan nostalgia keunikan masyarakat di kawasan kampung ketika merdeka.

Sementara itu, Harun turut memberitahu  seramai 110 pelatih baharu akan mengikuti latihan di GiatMARA Arau, Kangar dan Padang Besar dalam 11 bidang kursus bagi tempoh selama 6 bulan untuk kemasukan September ini.

Sehingga kini, lebih 7,000 pelatih berjaya mengikuti dan menamatkan latihan kemahiran di 3 buah pusat GiatMARA yang terdapat di Perlis sejak ditubuhkan pada 1987.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD