fb fb fb fb fb

Dua individu mengaku tidak bersalah, kes rasuah bernilai RM350,000

Foto Hiasan

SEREMBAN, 24 Oktober- Mahkamah Sesyen Seremban hari ini membenarkan ikat jamin RM5,000 terhadap dua tertuduh iaitu seorang Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Zamry Sulaiman, 52 tahun dan Anuar Md Isa, 54 tahun atas pertuduhan menerima rasuah bernilai RM350,000.

Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh Mohd Zamry Sulaiman didapati telah bersubahat dengan Anuar Md Isa melakukan suatu kesalahan iaitu secara rasuah menerima suatu suapan pada 1 Jun dan 11 Oktober 2022 di sebuah bank di Seremban, masing-masing melibatkan wang berjumlah RM250,000 dan RM100,000 daripada seorang individu.

Ia sebagai upah untuk membantu sebuah syarikat yang dilantik bagi melakukan kerja-kerja menaik taraf sistem mekanikal dan elektrikal di Kompleks Bangunan Getah Asli, Kuala Lumpur.

Tertuduh didapati melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 28 (1)(C) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 16 (a) akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) yang sama.

Jika sabit kesalahan, penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun, denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Bagi tertuduh, Anuar Md Isa pula, di lokasi dan tarikh sama dia didakwa secara rasuah menerima suatu suapan iaitu wang berjumlah RM350,000 melalui cek daripada individu sama dalam akaun bank miliknya sebagai upah bagi membantu syarikat berkenaan bagi tujuan sama.
 
Tertuduh didapati melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun, didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Tertuduh Mohd Zamry Sulaiman diwakili peguam bela, A.Ashok dan V.Muniandy manakala Anuar Md Isa diwakili peguam bela, Azrul Zulkifli Stork.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Abdul Muntaqim Abdul Aziz dan Fatin Farhana Ismail.

Hakim, Meor Sulaiman Ahmad Tarmuzi menetapkan 12 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula bagi kedua-dua kes yang akan dijalankan secara serentak.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM