fb fb fb fb fb

Dua buah kapal jenis VLCC ditahan di perairan Johor Timur

Kapal jenis Very Large Crude Carrier (VLCC) yang ditahan

KOTA TINGGI, 24 Oktober- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan dua buah kapal jenis Very Large Crude Carrier (VLCC) yang sedang menjalankan aktiviti pemindahan minyak tanpa kebenaran di perairan Johor Timur, petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kegiatan itu dikesan ketika dikedudukan 32.1 batu nautika Timur Tanjung Sedili, di sini.

Maritim terpaksa menahan kapal yang berdaftar di Honduras dan Panama itu secara paksa selepas kedua-dua pihak enggan memberikan kerjasama semasa ditahan untuk diperiksa.

"Kapal tangki pertama yang berdaftar dari Panama dikendalikan oleh 26 orang kru yang berumur antara 23 hingga 54 tahun.

"Manakala kapal tangki kedua yang berdaftar dari Honduras juga dikendalikan 26 orang kru berumur di antara 21 hingga 51 tahun," kata Nurul Hizam dalam satu kenyataan.

Nakhoda kedua-dua kapal gagal mengemukakan dokumen kebenaran aktiviti yang dijalankan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 491B(1)(K) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 bagi kesalahan melakukan aktiviti kapal ke kapal tanpa kebenaran dan Seksyen 491B (1)(L) kerana bersauh tanpa kebenaran.

Nakhoda kedua-dua kapal berkenaan turut disiasat bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

TETITIA YUSOFF