fb fb fb fb fb

Dasar tamat hayat kenderaan belum lagi sesuai dilaksanakan - Anthony

(Separuh daripada kenderaan di atas jalan dalam negara kita adalah motosikal.)

KUALA LUMPUR, 24 Oktober- Dasar tamat hayat kenderaan yang akan menetapkan had usia kenderaan sebagai langkah untuk mengurangkan pelepasan karbon belum lagi sesuai dilaksanakan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata ia mengambil kira keadaan sosioekonomi rakyat Malaysia.

"Jadi perubahan-perubahan seperti ini akan mengambil masa. Berkenaan dengan kereta-kereta lama memang kalau kita buat satu dasar yang tidak membenarkan kereta lama itu akan memberi kesusahan kepada rakyat. Jadi kita kena faham juga keadaan sosioekonomi negara kita. Walaupun kita menjurus ke arah kelestarian mengurangkan kadar emisyen, tetapi dasar-dasar yang kita perlu lakukan mesti juga mengambil kira sosioekonomi dalam negara kita. Untuk permulaan, kerajaan telah memberi insentif untuk pembelian e-motosikal. Jadi ini merupakan satu kaedah yang baik kerana kita memberikan insentif RM2,400 e-motosikal ini," katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas pelancaran Forum Kelestarian Persekitaran Pengangkutan Serantau Asia Peringkat Tinggi ke-15 di Kuala Lumpur.

Menurutnya, motosikal juga adalah penyumbang terbesar pelepasan karbon di Malaysia.

Separuh daripada kenderaan di atas jalan dalam negara kita adalah motosikal.

Sekitar 15 juta daripada 30 juta kenderaan yang didaftarkan adalah motosikal.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM