fb fb fb fb fb

Memperingati mangsa terkorban, tugu peringatan akan dibina di Gunung Cheroh

(Ujarnya, dokumentasi tersebut penting bagi memastikan segala maklumat yang berlaku dapat disebarluaskan dan dikongsi kepada orang ramai.)

IPOH, 24 Oktober- Satu tugu peringatan akan dibina di lokasi kejadian runtuhan batu kapur Gunung Cheroh, Ipoh bagi memperingati mangsa yang terkorban dalam tragedi runtuhan gunung berkenaan yang berlaku pada 50 tahun lalu.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak A. Sivanesan berkata lokasi runtuhan itu juga akan dijadikan sebagai taman memorial bagi memudahkan waris memberi penghormatan kepada mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan batu kapur tersebut.

"Tempat ini akan diisytiharkan sebagai satu tempat khas untuk mengingati orang-orang yang meninggal dunia dalam tragedi ini.

"Satu tugu akan dibina di sini dengan kos kerajaan negeri," katanya kepada pemberita pada majlis Pengkisahan Sejarah Runtuhan Gunung Cheroh - 50 Tahun Dalam Ingatan di Ipoh.

Tambah beliau, pihaknya akan membantu Jabatan Arkib Negara Malaysia Perak bagi mengumpul segala dokumentasi berkaitan tragedi runtuhan gunung berkenaan.

Ujarnya, dokumentasi tersebut penting bagi memastikan segala maklumat yang berlaku dapat disebarluaskan dan dikongsi kepada orang ramai.

Dalam tragedi runtuhan Gunung Cheroh pada 18 Oktober 1973, kira-kira 40 orang terkorban dan dipercayai masih terdapat mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan batu kapur berkenaan.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM