ALOR SETAR, 24 Oktober- Kementerian Pendidikan (KPM) komited dalam menangani isu berkaitan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak terutama membabitkan pelajar sekolah dan sentiasa memandang serius isu itu.
Menterinya Fadhlina Sidek berkata KPM memberi komitmen sepenuhnya mengenai penguatkuasaan lebih tegas Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).
"Penting saya ulang memperingatkan bahawa kita sudah pun meluncurkan tempoh hari garis panduan pengurusan gangguan seksual di peringkat institusi pendidikan KPM.
"Jadi ini bukan sekadar garis panduan tapi memaknakan keseriusan kita untuk memastikan isu-isu berkait rapat gangguan seksual ini benar-benar ditangani diperingkat KPM", katanya.
Beliau berkata kepada ditemui media selepas Majlis Pelancaran Program Makanan Kesihatan Promak Riang Ria Nutri Peringkat Negeri Kedah di Alor Setar.
Beliau mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said semalam, mengenai penguatkuasaan lebih tegas dan agresif akan dilaksanakan bagi membendung penderaan seksual terhadap kanak-kanak, termasuk mendakwa guru, jiran atau orang awam yang menyembunyikan atau gagal melapor perbuatan itu.
Azalina dilaporkan berkata sehingga ini belum ada individu yang didakwa berkaitan isu itu walaupun ia termaktub dalam Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).-BERNAMA