JOHOR BAHRU, 19 Julai- Seorang penunggang motosikal lelaki, bersama-sama seorang pembonceng wanita, maut selepas motosikal dinaiki, bertembung dengan sebuah van sekolah di Jalan Masai Kong–kong, Johor Bahru, Johor semalam.
Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, siasatan awal mendapati van yang dipandu wanita berumur 47 tahun itu, dalam perjalanan dari Kong-kong ke Masai.
Setibanya di lokasi kejadian, motosikal terbabit telah masuk ke laluan van berkenaan, lalu bertembung dengan van tersebut.
Penunggang dan pembonceng motosikal berumur 26 hingga 30 tahun, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala.
Manakala pemandu van tidak mengalami kecederaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.