BEKENU, 14 September - Dua orang cedera selepas kereta yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Pesisir Pantai, Bekenu, tengah hari tadi.
Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, panggilan kecemasan mengenai insiden itu diterima pada pukul 12.51 tengah hari dan menggerakan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah dengan sebuah jentera FRT digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 23 kilometer dari balai.
Kemalangan melibatkan seorang lelaki, Shahrir Abdurachman, 38 tahun, yang merupakan pemandu kereta, dan seorang penumpang perempuan, Nur Syafawani Azlie, 17 tahun.
Kedua-dua mangsa tersepit di bahagian hadapan kenderaan sebelum berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan rescue tool oleh pasukan bomba.
Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak ambulans Batu Niah untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Pemandu lori terbabit bagaimanapun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.