
SUNGAI PETANI, 24 Mac – Dua beranak ditemukan maut secara berasingan di ruang tamu dan dapur di dalam sebuah rumah di Kampung Zainol Abidin Bedong, Bedong, petang semalam.
- Mayat seorang lelaki (40-an) dan wanita (70-an) dipercayai sudah meninggal lebih 48 jam.
- Polis terpaksa memecah masuk rumah kerana berkunci dari dalam selepas menerima aduan awam.
- Pemeriksaan awal mendapati tiada kecederaan akibat senjata tajam pada kedua-dua mayat.
- Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) sementara menunggu laporan bedah siasat.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Polis (ACP) Hanyan Ramlan menerusi kenyataan hari ini berkata pemeriksaan mendapati mayat lelaki berusia 40-an dan wanita 70-an itu dipercayai telah meninggal dunia lebih 48 jam sebelum ditemukan hasil aduan awam kira-kira pukul 6.05 petang.
Katanya, sebaik menerima aduan polis terpaksa memecah masuk ke dalam rumah berkenaan kerana berkunci dari dalam.
“Pemeriksaan awal mendapati tiada kecederaan akibat senjata tajam pada kedua-dua mayat terbabit, “ katanya.
Setakat ini, katanya kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) sementara menunggu laporan bedah siasat pagi ini.