
ALOR SETAR, 2 APRIL – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah mengesahkan dua beradik berusia lapan dan sembilan tahun yang tercicir persekolahan di Naka akan ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Panglima Awang, dekat Kuala Nerang.
- PPD dan JKM telah melawat keluarga pada 2023; waris tidak bertindak, PPD kembali mengunjungi untuk memastikan keperluan persekolahan dipenuhi.
- LZNK akan mengenal pasti bantuan sesuai termasuk latihan kemahiran dan bimbingan keusahawanan untuk memerkasakan ekonomi keluarga.
- Anak Muda MADANI membantu kemasukan sekolah, menyediakan kelengkapan, dan meneliti keperluan lain seperti bekalan air dan elektrik.
Pengarah Pendidikan Kedah Abdul Rahim Mat berkata Muhamad Rizhan Rizqi dan adiknya Muhamad Raiwal Rayyan akan ditempatkan di asrama sekolah tersebut bermula Ahad ini bagi memudahkan mereka menjalani persekolahan.
“Isu berkaitan keciciran sekolah dua kanak-kanak ini dalam pengetahuan kita. Pada 2023, Penolong Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Prasekolah dan Rendah, Sektor Pengurusan Sekolah telah melawat kediaman waris bersama-sama pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Dalam lawatan itu, usaha dibuat untuk membantu mendaftarkan kanak-kanak berkenaan ke sekolah bagaimanapun, pihak waris tidak mengambil tindakan lanjut seperti telah dinasihatkan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata, pihak PPD mengunjungi semula keluarga itu kelmarin dan semalam bagi memastikan keperluan persekolahan dapat dipenuhi.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Agihan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) Mohamad Suraidi Saad berkata pihaknya akan mengenal pasti bantuan sesuai yang akan disalurkan bagi meringankan beban keluarga terlibat.
“Kita selesaikan dulu masalah persekolahan anak-anaknya (dan) selepas itu kita akan lihat kemahiran dimiliki. Sebelum ini dia (ibu kanak-kanak itu) pernah berniaga, jadi mungkin kita boleh menyediakan keperluan untuk berniaga dan mencari sumber pendapatan,” katanya.
Mohamad Suraidi berkata LZNK mempunyai program pembangunan asnaf yang memfokuskan kepada pemerkasaan ekonomi melalui latihan kemahiran, bimbingan keusahawanan dan perniagaan yang mampu membantu keluarga itu.
Sementara itu, Pengerusi Anak Muda MADANI Kedah Datuk Zuraidi Rahim berkata mereka akan membantu menguruskan kemasukan kanak-kanak tersebut ke sekolah, dengan pihaknya telah berurusan dengan PPD Padang Terap dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bagi tujuan itu.
Beliau berkata pihaknya turut membantu menyediakan kelengkapan sekolah dan keperluan lain untuk dua beradik itu agar mereka dapat menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain.
“Dua beradik ini mempunyai keinginan untuk ke sekolah, jadi saya yakin mereka mempunyai masa depan yang cerah sekiranya diberikan pendidikan yang sempurna dan formal,” katanya ketika ditemui semasa melawat dua beradik itu di kediaman mereka di Taman Naka Jaya, di sini hari ini.
Zuraidi berkata pihaknya juga akan melihat keperluan lain keluarga itu, terutamanya bekalan air dan elektrik yang telah dipotong supaya mereka dapat hidup dengan lebih selesa.
Sementara itu, ibu kanak-kanak itu Siti Nur Jamilah Jamaludin, 39, berkata terharu dan berterima kasih kepada semua pihak yang prihatin terhadap mereka. Selain dua anak lelaki, dia juga mempunyai seorang anak perempuan berusia lima tahun.
“Saya berjanji akan memberi sokongan kepada dua anak supaya mereka dapat bersekolah dan mendapat pendidikan sewajarnya,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan dua beradik itu tidak dapat menjejakkan kaki ke sekolah disebabkan kesukaran hidup selain bapa mereka dikatakan menghilangkan diri.- BERNAMA