fb fb fb fb fb

Dua beradik maut: Nanta jumpa syarikat konsesi esok

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi

KUALA LUMPUR, 25 Mac - Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi akan berjumpa wakil syarikat konsesi esok, susulan kemalangan jalan raya yang mengakibatkan kematian dua pelajar adik-beradik di Kluang, Johor baru-baru ini.

Beliau berkata teguran telah dibuat dan pihaknya mengarahkan syarikat itu supaya mengambil tindakan segera membaik pulih jalan terlibat iaitu Jalan Sengkang-Felda Inas-Bandar Tenggara dan mereka telah pun melaksanakannya.

"Saya minta mereka ambil pengajaran daripada kes yang berlaku ini supaya di masa akan datang kita elakkan ini daripada berulang…mereka perlu buat pemantauan lebih kerap dan terperinci, buat kerja pembaikan jalan yang rosak dan jalan berlubang.

“… jadi kita lihat apa yang kita boleh buat selain daripada kita tegur, semestinya kita ikut perjanjian, tak boleh ditamatkan serta-merta (kontrak dengan syarikat konsesi)," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) dan Surat Pelantikan Pegawai Penguasa Projek di sini hari ini.

Turut hadir timbalannya Datuk Seri Ahmad Maslan dan SST itu disampaikan oleh Ketua Pengarah Kerja Raya Datuk Roslan Ismail.

Dalam kemalangan Jumaat lepas, dua beradik berumur 17 dan 16 tahun maut, selepas motosikal dinaiki mereka terlanggar lubang ketika dalam perjalanan ke sekolah.

Nanta dalam ucapan di majlis itu mengingatkan semua pihak terutama kontraktor yang terlibat dalam projek infrastruktur rakyat untuk tidak mengambil jalan pintas sehingga menjejaskan kualiti jalan dan jambatan dan menyebabkan kemalangan.

Beliau berkata semua pihak termasuk KKR, JKR dan kontraktor perlu mengambil iktibar daripada insiden itu bagi memastikan ia tidak berulang.

“Peristiwa ini amat menyedihkan dan tentunya memberi impak negatif kepada kementerian setelah ia tersebar luas di media sosial dan media arus perdana…laksanakan tanggungjawab yang diberikan dengan sebaik-baiknya.

"Tuan-tuan (kontraktor) tidak hanya membina jalan dan jambatan tetapi membina kehidupan dan masa depan negara. Kegagalan kita mengikut spesifikasi dan standard atau mengambil jalan pintas (cut-corners) boleh menyebabkan kemalangan dan kehilangan nyawa sekali gus menjejaskan imej negara,” katanya.

Sementara itu, pada majlis berkenaan enam kontraktor menerima SST bagi melaksanakan projek infrastruktur jalan raya dan jambatan di bawah dua kementerian iaitu KKR dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), melibatkan kos kira-kira RM174.46 juta.

Antaranya projek menaik aras Jalan Kota Tinggi-Mersing, Kota Tinggi, Johor, melibatkan kos RM130.78 juta oleh Syarikat Zinpac Enterprise Sdn. Bhd. yang telah bermula 18 Mac lepas dan dijadualkan siap pada Mac 2028.

Menerusi projek itu, jalan berkenaan akan dinaikkan aras di lima lokasi sering berlaku banjir selain kerja-kerja pembaikan selekoh yang juga kawasan kerap berlaku kemalangan.

Sementara itu, lima projek lain ialah projek menggantikan pembetung kepada jambatan di laluan Jalan Paya Kemunting (Jitra) - Bukit Kayu Hitam (FT001), Kedah dan projek mengganti jambatan Jalan Perwira Jaya - Selancar (FT2490), Rompin, Pahang.

Projek mengganti Jambatan Gantung di Kampung Rekoh, Rompin, Pahang; projek membina baru Jambatan Konkrit di Kawasan Eco Rimba Kenong Mukim Cheka 2, Pahang dan projek mengganti jambatan FT1292 di Seksyen 2.90, Jelebu, Negeri Sembilan.

Nanta turut mengingatkan semua kontraktor yang menerima SST hari ini untuk menjalankan tanggungjawab dengan penuh integriti dan amanah serta memastikan setiap projek disiapkan mengikut spesifikasi, kualiti dan tempoh yang telah ditetapkan atau lebih baik siap awal atau ahead of time (AOT).- BERNAMA

TETITIA YUSOFF