KUALA LUMPUR, 25 Mac – Majlis Khatam al-Quran Berita Ehwal Semasa (BES) berjaya dianjurkan buat kali kelima tahun ini sejak diperkenalkan pada 2021, dengan penyertaan lebih 30 warga kakitangan BES serta pelbagai bahagian lain dalam RTM.
Timbalan Pengarah Bahagian Berita Ehwal Semasa, Md Shahri Saripan berkata program itu bertujuan menggalakkan penyertaan warga kerja RTM dalam penghayatan al-Quran, terutama sepanjang bulan Ramadan.
“Program tadarus dan khatam al-Quran peringkat BES telah dianjurkan sejak 2021 bersama Masjid Muhammadi Angkasapuri. Saya berbesar hati dengan sambutan baik yang diterima daripada warga RTM dan pelbagai bahagian lain. Program ini akan diteruskan selagi ada kesempatan dan sokongan daripada semua pihak,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis tersebut di Angkasapuri Kota Media, di sini.
Sementara itu, Ketua Imam Masjid Angkasapuri, Mohd Firdaus Muhamad berkata majlis itu bukan sekadar mencapai khatam al-Quran tetapi juga memperkukuh hubungan silaturahim dalam kalangan peserta.
“Majlis ini mengeratkan hubungan dan memberi peluang kepada peserta untuk memahami serta mengaplikasikan isi kandungan al-Quran dalam kehidupan harian,” katanya.
Kejayaan program itu mencerminkan komitmen warga RTM dalam menghayati nilai-nilai Islam sepanjang bulan Ramadan.
Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderamata kepada penceramah dan peserta sebagai tanda penghargaan atas usaha mereka menjayakan program tersebut.