fb fb fb fb fb

Dua bakat seni tempatan terpilih sertai Residensi Seni Khazanah di London

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 29 Julai - Dua pengkarya, Lee Mok Yee dan Amar Shahid Salehudin dipilih mengikuti Program Residensi Seni Khazanah (KAAR) 2025, inisiatif anjuran Khazanah Nasional Berhad bagi memupuk bakat seni tempatan melalui pendedahan global dan kerjasama rentas budaya.

Program Residensi selama 12 minggu itu bakal bermula September ini di Acme Studios, London bertepatan dengan 'Frieze Week' yang merupakan antara acara seni kontemporari terpenting di dunia.

Bagi Lee Mok Yee, artis pelbagai disiplin dari Kuala Lumpur yang sudah lebih 12 tahun bergiat aktif dalam seni visual, program ini dianggap sebagai peluang istimewa yang memberikan sepenuh tumpuan kepada penciptaan karya.

"Ini merupakan peluang yang baik untuk saya berinteraksi dengan komuniti di London melalui platform yang lebih besar dan juga bertaraf antarabangsa," katanya semasa ditemu bual di majlis pengumuman KAAR 2025.

Sementara itu seorang lagi artis, Amar Shahid Salehudin yang berasal dari Terengganu melihat peluang ini sebagai medan pembelajaran mendalam, khususnya dalam bidang batik dan fotografi yang merupakan dua medium utama dalam karya seninya.

"Saya rasa bersyukur. Saya rasa ini adalah masa untuk saya menjelajah di luar dan mengembangkan seni saya. Belajar lebih banyak, berkembang dengan lebih banyak," jelasnya.

Kedua-dua mereka dipilih daripada 47 permohonan oleh panel juri profesional, berdasarkan keunikan pendekatan seni dan potensi untuk menyumbang semula kepada ekosistem kreatif Malaysia.

Sebagai sebahagian daripada Program Residensi Khazanah (KRP), KAAR menyasarkan pembangunan kapasiti seniman melalui bimbingan, sesi pameran dan interaksi bersama komuniti seni antarabangsa.

Sekembalinya ke tanah air, para peserta akan terlibat dalam program awam, termasuk sesi 'Tea Talk' dan kerjasama dengan Galeri Khazanah.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2017, KAAR telah menyokong 12 bakat seni tanah air dan terus menjadi platform penting untuk memupuk suara seni baharu yang mencorakkan landskap budaya negara.

MASNIZA AWANG KECHIK