KUALA LUMPUR, 29 Julai – Pakej pelayaran Aroya Cruises melibatkan laluan Port Klang–Langkawi–Port Klang mesra Muslim yang dilancarkan hari ini bakal menyuntik ekonomi dalam sektor pelancongan negara sekali gus menyokong kesediaan bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif IslamiCruise, Suhaimi Abd Ghafer, projek yang akan memulakan operasi pada 30 Januari 2026 itu merupakan hasil kerjasama strategik antara IslamiCruise International Sdn Bhd dan Aroya Cruise Link Agent (ACLA), menerusi perjanjian persefahaman (MoU) dalam satu majlis di ibu negara.
"Setiap penumpang Aroya sama ada dari Jeddah ke Port Klang atau sebaliknya akan singgah di Malaysia sekurang-kurangnya dua hingga tiga malam. Ini memberi kesan langsung kepada sektor perhotelan dan perkhidmatan," katanya.
Turut hadir pada majlis tersebut, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan.
Pelancong antarabangsa yang menyertai pelayaran tersebut ditawarkan baucar penginapan bernilai RM300, boleh ditebus di hotel-hotel panel Tourism Malaysia, bagi menggalakkan penginapan lebih lama di negara ini.
Turut tersedia ialah ruang permainan kanak-kanak terbesar di dunia, menjadikan ia destinasi ideal untuk percutian keluarga, tidak kira latar belakang agama.
Pakej bermula serendah RM597 akan menawarkan pengalaman mewah, selamat dan mesra syariah.
Aroya Cruises diyakini bakal menjadi pemacu utama kemasukan pelancong ke Malaysia menjelang 2026, seterusnya memperkukuh kedudukan negara sebagai destinasi pelancongan halal terunggul dunia.