fb fb fb fb fb

Dua anggota tentera maut dihempap pokok ketika operasi

GERIK, 11 Julai- Dua anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) maut setelah dihempap pokok sewaktu menjalankan operasi di kawasan pedalaman Hutan Belum, Gerik, Perak dalam insiden pada awal pagi tadi.

Dalam satu kenyataan, TDM  mengesahkan insiden membabitkan dua anggota TDM daripada Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD), iaitu Sarjan Mohd Kamal Ramli dan Koperal Muhammad Zaki Johari yang meninggal dunia.

“Kejadian berlaku kira-kira pukul 2.30 pagi, ketika pangkalan sementara di kawasan operasi pasukan tersebut telah dilanda ribut kencang.

“Pada pukul 2.50 pagi ketika suasana kembali tenang, pemeriksaan keselamatan telah dilaksanakan dan mendapati kedua-dua anggota telah meninggal dunia akibat dihempap pokok,”menurut kenyataan itu.

TDM menzahirkan ucapan takziah buat isteri Allahyarham Sarjan Mohd Kamal Ramli iaitu Koperal Siti Nafishah Mohd Nasir dan isteri Allahyarham Koperal Muhammad Zaki Johari iaitu Nurummi Amirah Chepa serta seluruh ahli keluarga Allahyarham berdua.

TDM akan menghulurkan bantuan sewajarnya dalam memastikan kebajikan keluarga mereka terjaga.

Jenazah Allahyarham Sarjan Mohd Kamal bin Ramli akan dikebumikan di Sungai Petani, Kedah manakala jenazah Allahyarham Koperal Muhammad Zaki bin Johari akan dikebumikan di Chuping, Perlis.

Sementara itu di Ipoh, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata pihaknya menerima laporan mengenai kematian kedua-dua anggota tentera pada 11.50 pagi.

"Kedua-dua mangsa telah dikeluarkan dari kawasan operasi tentera dengan menggunakan helikopter milik Angkatan Tentera Malaysia ke 2 RAMD, Kem Sungai Ara, Pulau Pinang.

"Mangsa dibawa ke Hospital Besar Pulau Pinang bagi tujuan bedah siasat," menurutnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata polis Perak merakamkan ucapan takziah kepada keluarga kedua-dua mangsa.

 


(Kenyataan media yang dikeluarkan oleh TDM)

 

Media Baharu