fb fb fb fb fb

Dron tingkat keberkesanan penguatkuasaan JPJ di jalan raya.

SEREMBAN, 9 Mei- Penggunaan dron oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan sepanjang Operasi Hari Raya Aidilfitri (Op HRA) 2022 menunjukkan keberkesanan dari segi penguatkuasaan, selain lebih mudah memantau kesalahan dilakukan pengguna jalan raya.

Pengarahnya, Hanif Yusabra Yusuf berkata, penguatkuasaan melalui dron pertama kali digunakan secara meluas pada Op HRA 2022 dengan menumpukan kawasan lebuh raya dan jalan-jalan utama di negeri itu. 

Jelas beliau, dua dron digunakan di kawasan lebuh raya bagi mengesan kesalahan melibatkan lorong kecemasan dan turut digunakan di jalan utama bagi mengesan kesalahan langgar lampu isyarat merah serta memotong barisan.

"Kita merasakan penggunaan dron adalah satu kaedah penguatkuasaan yang berkesan dan menjimatkan dari segi sumber tenaga manusia.

Yang keduanya ia lebih selamat dan ketiga, ia lebih meningkatkan persepsi 'akan ditangkap' dalam kalangan pemandu itu sendiri," katanya pada sidang media Op HRA 2022 di sini.

(Hanif Yusabra Yusuf memeriksa dron yang diogunakan dalam penguatkuasaan Op HRA 2022)

Katanya lagi, JPJ Negeri Sembilan turut bercadang untuk menambah lima lagi dron bagi tujuan penguatkuasaan dan memperluas penggunaannya dalam operasi lain JPJ selepas ini.

Sementara itu, beliau memaklumkan sejumlah 316 kesalahan utama dikesan sepanjang OP HRA 2022 yang berakhir semalam.

"Daripada jumlah tersebut, kesalahan tertinggi ialah memotong barisan mencatat 149 kes, melanggar lampu isyarat merah 92, memandu di lorong kecemasan 32 dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu, enam kes.

Anggota JPJ juga turut membuat penyamaran sebagai penumpang di dalam 18 buah bas bagi mengesan kesalahan yang dilakukan pemandu bas," katanya lagi.

Tambah beliau, dua kes dikesan melibatkan pemandu bas menggunaan telefon bimbit semasa memandu dan satu kes memandu secara berbahaya iaitu mengekori kenderaan hadapan terlalu rapat.

Secara keseluruhan JPJ Negeri Sembilan telah memeriksa sebanyak 2,010 kenderaan sepanjang operasi tersebut dengan 610 buah kenderaan telah dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan.

Media Baharu