fb fb fb fb fb

Drama bersiri 'Cyber999' didik masyarakat jangan jadi mangsa jenayah siber

KUALA LUMPUR, 2 Mac- Diilhamkan daripada buku 'Kisah Benar Cyber999', 26 insiden berkaitan keselamatan siber bakal dipaparkan menerusi drama bersiri Cyber999 yang akan bersiaran menerusi saluran TV1, RTM.

Memuatkan kisah benar berdasarkan laporan pengguna internet ke Pusat Bantuan Cyber999, drama bersiri tersebut berorientasikan usaha untuk mendidik masyarakat.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata, selain mewujudkan persekitaran siber yang selamat dan kondusif ia juga sejajar dengan matlamat Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) membina komuniti Siber Malaysia Madani.

"Aspek keselamatan itu paling penting tetapi apa yang juga penting ialah cara kita memahami aset ataupun prasarana ataupun infrastruktur internet supaya lebih menyeluruh termasuk mesej yang kita terima dalam pelbagai aplikasi sekarang, termasuklah telegram.

"Penting untuk kita kenal pasti hubung kait jenayah dengan keselamatan siber ini, kerana pemangsa-pemangsa ini menggunakan data yang mereka curi daripada kelemahan keselamatan siber untuk mereka melakukan jenayah scam.

"Harapan saya dengan adanya produksi sebegini adanya kita tayangkan program-program seperti ini dapat meningkatkan kesedaran umum, pentingnya keselamatan siber," katanya.ketika berucap melancarkan drama bersiri 26 episod bertajuk Cyber999 bagi siaran RTM di Angkasapuri, di sini.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil merasmikan Drama Cyber999 sempena sambutan Hari Keselamatan Internet 2023 di Angkasapuri hari ini.

Turut sama Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah CyberSecurity Malaysia Jeneral (B) Tan Sri Datuk Seri Dr Zulkifeli Mohd Zin (tiga, kanan), Ketua Pengarah Penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) Suhaimi Sulaiman (kiri) dan Timbalan Ketua Setiausaha (Infrasturktur Telekomunikasi dan Ekonomi Digital) Kementerian Komunikasi dan Digital Ma. Sivanesan Marimuthu (dua, kiri).

Drama terbitan sebuah syarikat swasta itu dilancarkan bersempena sambutan Hari Keselamatan Internet 2023, edisi Malaysia.


(Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil merasmikan Drama Cyber999 sempena sambutan Hari Keselamatan
Internet 2023 di Angkasapuri. Turut sama Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah CyberSecurity Malaysia Jeneral
(B) Tan Sri Datuk Seri Dr Zulkifeli Mohd Zin (tiga, kanan), Ketua Pengarah Penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) Suhaimi
Sulaiman (kiri) dan Timbalan Ketua Setiausaha (Infrasturktur Telekomunikasi dan Ekonomi Digital) Kementerian
Komunikasi dan Digital Ma. Sivanesan Marimuthu (dua, kiri)/BERNAMA)

Cyber999 akan ditayangkan pada pukul 12.30 tengah hari setiap Sabtu dan Ahad, bermula 4 Mac hingga 28 Mei 2023.

Memaparkan pelbagai modus operandi jenayah siber, Cyber999 dijangka mampu memberi kesedaran kepada penonton daripada terpedaya dan menjadi mangsa jenayah siber. 

Pada masa sama, dapat memupuk nilai-nilai etika, integriti dan sikap kebertanggungjawaban dalam menggunakan teknologi dan internet.

Drama Cyber999 dibarisi pelakon Sharifah Radziah, Badsham Harun, Nasrizal Yap, Rizal Rahman dan ramai lagi.

Media Baharu