fb fb fb fb fb

Isu pembelajaran di sekolah, menteri terbuka jumpa cikgu Fadli

(Foto Facebook Dr. Radzi Jidin)

KUALA LUMPUR, 16 Oktober- Isu beg berat, silibus tinggi dan padat, bilangan murid yang ramai dalam kelas dan beberapa perkara lain yang diketengahkan seorang guru, cikgu Mohd Fadli Salleh mendapat perhatian Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin.

Dr. Radzi menerusi status Facebook menyebut, mahu tahu lebih lanjut berhubung perkara yang dibangkitkan cikgu Mohd Fadli.

“Saya tertarik untuk tahu lebih lanjut perkara yang dibangkitkan cikgu Mohd Fadli Salleh. Kalau cikgu ada kelapangan masa, boleh kita berjumpa,” tulis Dr. Radzi di Facebook.

Sebelum ini, cikgu Mohd Fadli sering membangkitkan beberapa perkara yang boleh ditambah baik oleh Kementerian Pendidikan merangkumi silibus, cara pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Dalam status Facebook cikgu Mohd Fadli, beliau menyenaraikan beberapa perkara yang diketengahkannya.


(Foto FB Cikgu Mohd Fadli Salleh)

“Saya bercakap tentang, beg berat bahaya pada anak-anak kita, silibus tinggi dan padat. Silibus syok sendiri, bilangan murid yang ramai dalam kelas, subjek yang banyak murid belajar, masa belajar untuk subjek teras terutamanya Matematik tidak mencukupi dan adanya Little Napoleon dalam sistem pendidikan menyebabkan sistem pendidikan kita rosak,” tulis cikgu Mohd Fadli.

Dalam status lain, cikgu Fadli juga menyatakan ramai wartawan dan rakan-rakan media cuba menghubunginya.

"Ramai wartawan dan rakan-rakan media cuba hubungi saya untuk temu bual. Maaf rakan-rakan media sekalian, saya masih penjawat awam. Saya tak boleh bersiaran atau mengeluarkan kenyataan pada pihak media tanpa kelulusan KPM, tulisnya.

Media Baharu