(Dr Muhammad Radzi Abu Hassan)
PUTRAJAYA, 25 April- Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dilantik sebagai Ketua Pengarah Kesihatan baharu berkuat kuasa 21 April lepas, bagi mengantikan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang bersara wajib.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, pelantikan itu dibuat berdasarkan kelayakan dan pengalaman luas Dr Muhammad Radzi dalam bidang perkhidmatan kesihatan negara.
Dr Muhammad Radzi merupakan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) di Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum dilantik ke jawatan itu.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Perubatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah, Ketua Penyelaras Perubatan negeri Kedah dan Ketua Pusat Penyelidikan Klinikal Kedah.
Dr Muhammad Radzi juga pernah dilantik sebagai Ketua Perkhidmatan Gastroentrologi dan Hepatologi dan menjadi pengerusi pentauliahan bidang kepakaran tersebut dari 2013 sehingga 2021.
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Dr Muhammad Radzi.
"Saya yakin dengan pengalaman, pengetahuan dan kepakaran serta kredibiliti Dr Muhammad Radzi mampu memberikan yang terbaik dan menjadi rakan pasukan bersama saya dalam memastikan matlamat dan agenda reformasi kesihatan negara dilaksanakan secara menyeluruh selaras dengan Kertas Putih Kesihatan yang sedang dibangunkan,” kata Zaliha dalam kenyataan.
Dr Muhammad Radzi mengantikan Dr Noor Hisham yang bersara wajib pada Jumaat ini selepas 35 tahun berkhidmat dalam sektor kesihatan awam negara.
(Dr Muhammad Radzi Abu Hassan)