fb fb fb fb fb

Boy Iman, tiga individu didakwa tipu wanita

(Boy Iman (tengah) antara tiga individu didakwa di Mahkamah Majistret kerana menipu penganjuran
festival raya Hooray X Fest di WTCKL, hari ini)

KUALA LUMPUR, 25 APRIL- Pelakon, Boy Iman dan tiga individu lain dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menipu seorang wanita berhubung penganjuran satu program festival raya, minggu lalu.

Boy Iman atau nama sebenarnya Noruliman A Rahman, Norazah Sahud, Norzana Rapie dan Nor Azmi Jantan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

Pertuduhan dibacakan di hadapan majistret Noorelynna Hanim Abdul Halim.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menipu Siti Wardina Basir dengan memperdayakannya dalam urusan penyewaan tapak perniagaan sempena Festival Hooray X Fest Raya sehingga mendorong wanita tersebut menyerahkan wang sebanyak RM1,500.

Kesalahan itu dilakukan di Pusat Dagangan Dunia (WTCKL) di sini pada pukul 2.34 pagi, 19 April lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara setahun hingga 10 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Aisyah Mohamed Zanyuin, manakala keempat-empat tertuduh diwakili peguam Mohamad Syakir Mohamad Fauzi dan Earnest Azad.

Kesemua tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan perlu menyerahkan passport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 13 Jun depan untuk sebutan semula kes.

(Boy Iman (biru) mengaku tidak bersalah)

Media Baharu