fb fb fb fb fb

Dokumen palsu guna nama pengarah, JPJ Pahang buat laporan polis

Foto Bernama

KUANTAN, 20 Julai - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang tidak pernah mengeluarkan permit perjalanan sementara bagi tujuan pemeriksaan kenderaan yang menggunakan nama dan tandatangan pengarahnya.

JPJ Pahang dalam kenyataan malam memaklumkan permit yang dikesan atas nama pengarah itu adalah palsu dan permit yang berkaitan hanya boleh dibuat di kaunter JPJ negeri atau cawangan tanpa memerlukan tandatangan pengarah.

“JPJ Pahang telah mengesan dokumen palsu yang menyalahgunakan nama jabatan dan nama pengarah JPJ Pahang dalam urusan perkhidmatan. Jabatan ini amat serius dalam menangani isu pemalsuan dokumen dan penyalahgunaan nama.

“Justeru, satu laporan polis telah dibuat semalam. Tindakan undang-undang yang tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat demi menjaga kepentingan awam,” menurut kenyataan itu.

JPJ Pahang memaklumkan masyarakat dinasihati agar sentiasa berhati-hati dalam urusan pembelian kenderaan terutamanya pembelian melalui platform atau sumber yang disyaki tidak sahih.

"Orang ramai dialu-alukan untuk melaporkan kepada JPJ sebarang tawaran atau dakwaan pihak ketiga berkaitan perkhidmatan jabatan itu, bagi tindakan pengesahan dan pencegahan yang lebih berkesan,” menurut kenyataan itu.- BERNAMA

AZRUL FAIZAL JUSOH