TEMERLOH, 20 Julai - Festival Kesenian Peribumi Malaysia (FESKEP) 2025 yang berlangsung selama tiga hari, bermula 18 hingga 20 Julai di Dataran Temerloh, Pahang meriah dengan kehadiran lebih 50 ribu pengunjung.
Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Mohd Amran Mohd Haris berkata, festival ini menjadi platform mengangkat kesenian tradisi masyarakat Orang Asli, serta peribumi Sabah dan Sarawak.
"Dengan penganjuran FESKEP tahun 2025 ini, kita dapat melihat bahawa pengisiannya banyak berkait rapat dengan rutin serta gaya hidup kesenian masyarakat Orang Asli sendiri. Elemen seperti 'Survival Village' yang diperkenalkan, demonstrasi serta pameran yang dikendalikan oleh para pengusaha dari kalangan masyarakat pribumi merupakan antara tarikan utama yang ingin kita ketengahkan dalam penganjuran FESKEP kali ini." Katanya.
Tambah beliau, ini merupakan tahun kedua FESKEP dianjurkan di daerah Temerloh.
Pihaknya juga telah menerima permintaan agar festival yang sama dilaksanakan di daerah-daerah lain, dan cadangan tersebut akan dikaji bagi memastikan manfaat program ini dapat dinikmati di daerah seluruh negeri.
Beliau turut memaklumkan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) sedang merangka strategi untuk memperluas penganjuran FESKEP ke peringkat antarabangsa, khususnya dengan penglibatan negara anggota ASEAN pada tahun hadapan.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perasmian FESKEP 2025 di Temerloh yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, Datuk Sabariah Saidan.
Sementara itu, dalam ucapannya Datuk Sabariah berharap agar festival ini dapat menjadi platform penting merangsang pertumbuhan ekonomi setempat serta memberi impak positif kepada kesejahteraan penduduk dan kemajuan Negeri Pahang.
"Program ini merupakan inisiatif pelancongan budaya bertujuan memartabatkan serta mempromosikan seni, budaya, warisan dan produk pelancongan yang terdapat di Negeri Pahang. Selain itu, program ini juga berperanan sebagai produk pelancongan yang berpotensi menarik kehadiran pelancong serta merangsang pertumbuhan ekonomi masyarakat setempat." Katanya.