fb fb fb fb fb

Dividen 55 peratus: KOSMA catat prestasi cemerlang 2024

Foto Facebook Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN, 31 Julai – Seramai 1,495 anggota Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (Kosma) bakal menerima agihan dividen berjumlah RM32.538 juta bagi tahun kewangan 2024, bermula hari ini.

Lebih membanggakan, dividen saham yang diagihkan meningkat kepada 55 peratus, tertinggi pernah dicatatkan, dengan jumlah keseluruhan pembayaran termasuk dividen unit ladang mencecah RM56.508 juta.

Menurut Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, kejayaan ini adalah hasil pengurusan cekap dan efisien Kosma, yang merekodkan keuntungan bersih RM132.77 juta dan pendapatan keseluruhan RM290.79 juta pada tahun lalu.

“Dividen saham sebanyak 55 peratus melibatkan bayaran RM32.538 juta, manakala dividen unit ladang pula RM23.970 juta, menjadikan keseluruhan agihan RM56.508 juta. Ini membuktikan kecekapan pengurusan serta pulangan pelaburan yang mampan,” katanya pada sidang media pengumuman pembayaran dividen unit ladang dan dividen syer Kosma bagi Tahun 2024 di sini.

Majlis pengumuman itu turut dihadiri Pengerusi Kosma, Datuk Zamri Mohamed.

Tambah Wan Rosdy, pencapaian cemerlang ini membuktikan bahawa koperasi di Pahang berpotensi untuk bersaing secara mampan, khususnya menerusi sektor perladangan sawit dan perhotelan yang diceburi KOSMA.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD