fb fb fb fb fb

DPOA fokus pembangunan inklusif masyarakat Orang Asli

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 31 Julai – Kerajaan komited memastikan masyarakat Orang Asli menikmati pembangunan yang setara dengan komuniti arus perdana menerusi penggubalan satu dasar baharu yang lebih menyeluruh dan inklusif.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Dasar Pembangunan Orang Asli (DPOA) sedang dibangunkan dengan kerjasama Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNDP).

Jelas beliau, dasar itu akan diselaraskan dengan pelbagai hala tuju dan kerangka sedia ada termasuk Malaysia MADANI, Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB), Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), serta Deklarasi PBB mengenai Hak Orang Asal (UNDRIP) yang telah diratifikasi Malaysia sejak 2007.

“Sebanyak tujuh aspek utama diberi penekanan dalam dasar ini, iaitu hak tanah, pendidikan, kesihatan, ekonomi, kepimpinan, infrastruktur, dan kebudayaan.

“Kerajaan memberi jaminan bukan sahaja untuk mempertahankan, malah mempertingkatkan hak masyarakat Orang Asli melalui sesi libat urus sebelum sebarang pindaan akta dibentangkan di Parlimen,” katanya semasa menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kuala Langat.

Dalam pada itu, kerajaan turut mempertimbang penubuhan sebuah Majlis Penasihat Orang Asli berdasarkan model New Zealand Māori Council (NZMC), bagi memperkukuh suara dan aspirasi komuniti dalam menentukan hala tuju pembangunan mereka.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD