fb fb fb fb fb

Ditipu ejen jual kereta, lelaki rugi RM90,000

(FOTO FAIL)

KUALA LUMPUR 21 Mei - Seorang lelaki kerugian RM90,000 dipercayai ditipu seorang ejen jualan kereta pada 12 Mei lepas.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner (ACP) Amihizam Abdul Shukor dalam satu kenyataan berkata lelaki tempatan berusia 36 tahun itu telah berurusan dengan suspek berkaitan jual beli kenderaan jenama Honda HRV.

Suspek merupakan seorang lelaki tempatan yang bekerja di sebuah syarikat kenderaan terkemuka yang terletak di Jalan Damansara.

"Pada 9 Januari lepas, mangsa membuat bayaran wang tempahan berjumlah RM500 kepada suspek dan bayaran tersebut telah diserahkan kepada pihak syarikat. Pada 29 April hingga 4 Mei lepas, pengadu telah membuat pembayaran wang secara tunai dan pindahan dalam talian ke nombor akaun syarikat yang diberikan oleh suspek.

"Namun begitu, pada 11 Mei, pengadu menerima panggilan telefon daripada pengurus pusat pameran yang memaklumkan bahawa pihak mereka masih belum menerima bayaran pendahuluan," katanya, di sini.

(FOTO FAIL)

Amihizam berkata mangsa turut dimaklumkan bahawa suspek tidak lagi bekerja dengan syarikat mereka dan pihaknya telah mengenal pasti suspek berkenaan bagi tindakan lanjut.

Beliau berkata kes ini disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu dan menasihati orang ramai supaya berhati-hati dengan segala taktik penipuan jenayah scammer yang menyebabkan ramai mangsa lebih terpedaya.

"Sebarang jenayah atau aktiviti yang mencurigakan, orang ramai boleh menghubungi National Scam Response Centre (NSC) di talian 997, Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/0585 atau mana-mana balai polis berdekatan," katanya.

Media Baharu