fb fb fb fb fb

Disiplin fiskal strategik pacu pertumbuhan ekonomi, beri impak tinggi

Dr. Nur Surayya Mohd Saudi

KUALA LUMPUR 30 Oktober - Pendekatan kerajaan menerusi disiplin fiskal strategik dalam Belanjawan 2026 dilihat mampu mengukuhkan keyakinan rakyat serta mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi negara.

Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Dr. Nur Surayya Mohd Saudi berkata, disiplin itu merupakan satu langkah strategik memastikan setiap perbelanjaan memberi impak tinggi dan manfaat langsung kepada rakyat.

"Disiplin fiskal bukan bermakna kita menyekat pembangunan, tetapi satu pelan strategik pembahagian belanjawan memastikan setiap sektor membelanjakan secara berhemah dan memberi kesan jangka panjang kepada rakyat.

"Industri pertahanan turut menjadi contoh pelaksanaan disiplin fiskal secara berkesan. Kementerian Pertahanan merupakan antara kementerian yang menerima peruntukan besar dalam Belanjawan tahun ini.

"Melalui pendekatan penggunaan bersama aset melibatkan tiga cabang utama udara, laut dan darat setiap perolehan dibuat berdasarkan keperluan utama bagi memastikan aset yang dibangunkan dapat dimanfaatkan secara optimum oleh keseluruhan angkatan pertahanan negara," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media, di sini.

Beliau yang juga Felo Kanan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) berkata, perbelanjaan berdisiplin disusun berdasarkan keperluan sebenar akan membantu kerajaan menyalurkan dana ke sektor berimpak tinggi seperti inovasi, pendidikan dan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) yang mampu mencipta peluang pekerjaan masa depan.

"Apabila rakyat melihat perbelanjaan kerajaan bersasar, telus dan berintegriti, keyakinan mereka terhadap ekonomi negara juga meningkat," katanya lagi.

Kerajaan turut memberi penekanan terhadap Petunjuk Prestasi Utama (KPI) fiskal, yang memastikan setiap kementerian dinilai berdasarkan keberkesanan penggunaan bajet yang diluluskan.

Pendekatan itu menjadikan sektor awam lebih bertanggungjawab dan berhemah dalam menguruskan perbelanjaan.

Beliau yakin sasaran pertumbuhan ekonomi negara sekitar 4.5 peratus dapat dicapai melalui penyusunan semula strategi fiskal yang berdisiplin, inovatif dan berpaksikan kebertanggungjawaban kewangan.

Pendekatan itu bukan sahaja memperkukuh asas ekonomi negara, malah memastikan rakyat lebih bersedia menghadapi ketidaktentuan global dengan kemahiran dan daya saing lebih tinggi.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI