fb fb fb fb fb

Pelaburan matang negara bina ekosistem seimbang

Professor Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff

KUALA LUMPUR, 30 Oktober - Malaysia dilihat semakin matang dalam membina ekosistem pelaburan yang saling melengkapi antara pelabur antarabangsa dan institusi tempatan seperti syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

Menurut Pakar Penganalisis Ekonomi, Professor Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff, gabungan dua entiti itu menjadi asas penting dalam memasikan pertumbuhan ekonomi negara kekal seimbang, mampan dan inklusif.

Beliau yang juga merupakan Pengarah Program MBA & DBA dari Putra Business School, menjelaskan bahawa pelabur asing datang dengan matlamat khusus serta tumpuan terhadap projek berskala besar yang menawarkan pulangan tinggi.

Kehadiran GLC dan GLIC melengkapkan kekosongan tersebut dengan memberi fokus kepada pembangunan sektor strategik yang dekat dengan rakyat, seperti perusahaan kecil dan sederhana (PKS), infrastruktur asas serta industri domestik bernilai tambah tinggi.

"Mereka mempunyai strategi pelaburan aset yang strategik, kadang - kadang yang tidak dilakukan oleh pelabur antarabangsa,

"Suntikan dana dari GLC dan GLIC dapat merealisasikan potensi industri tempatan yang mungkin terlepas pandang oleh pelabur luar. Dalam masa yang sama, pelabur antarabangsa membawa teknologi, pasaran dan kepakaran baharu yang mengangkat daya saing ekonomi Malaysia di peringkat global," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media di sini.

Gabungan kedua-dua pihak ini mewujudkan satu bentuk rangkaian pelaburan pintar dalam memperkukuh daya tahan pasaran tempatan terhadap ketidaktentuan global.

Model itu menunjukkan bahawa Malaysia tidak bergantung sepenuhnya kepada model luar, sebaliknya bijak mengimbangi kekuatan dalaman dengan peluang global.

Strategi tersebut selari dengan hala tuju Belanjawan 2026 yang menekankan pelaburan berfokus serta pembangunan ekonomi berasaskan nilai.

Ia mencerminkan komitmen kerajaan untuk menjadikan Malaysia bukan sekadar destinasi pelaburan, tetapi juga rakan strategik ekonomi yang dihormati di rantau ini.

"Inilah peranan sebenar GLC dan GLIC, kerana mereka lebih memahami konteks ekonomi tempatan serta mempunyai kaedah dan mekanisme yang tersusun dan berfokus.

"Ada keperluan tertentu yang mungkin tidak dapat dipenuhi oleh pelabur antarabangsa, dan di sinilah GLC serta GLIC berperanan melengkapkan ekosistem pelaburan negara.

"Pelabur antarabangsa datang untuk tujuan tertentu, manakala keperluan penting di peringkat domestik pula dipenuhi melalui pelaburan strategik GLC dan GLIC," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI