fb fb fb fb fb

Dewan Rakyat luluskan RUU Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2023

(FOTO RTM)

KUALA LUMPUR, 10 Oktober- Rang Undang-undang (RUU) Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2023 diluluskan di Dewan Rakyat selepas dibahas 14 ahli parlimen.

Pada sesi penggulungan, Menteri Sumber Manusia, V.Sivakumar menjelaskan pindaan akta 262, bakal mewujudkan kesatuan sekerja yang lebih matang, progresif serta bersaing secara sihat bagi memastikan faedah-faedah pekerja dapat dipertingkat.

"Terdapat peruntukan yang ditambah baik bagi memastikan akta ini dapat dikuatkuasakan dengan berkesan.

"Contohnya, peruntukan berhubung kuasa siasatan dan pendakwaan ke atas kesatuan sekerja yang melakukan kesalahan",katanya.

Sivakumar turut berkata pindaan akta berkenaan juga akan dapat meningkatkan keanggotaan kesatuan sekerja dengan anggaran peningkatan keanggotaan lebih kurang 50,000 sehingga 100,000 ahli, manakala bilangan kesatuan sekerja dijangka akan meningkat dari 756 kepada 800, tahun ini.

Bagi merealisasikan sasaran itu, Sivakumar berkata, kementerian merancang serta melaksanakan beberapa inisiatif, selain memperuntukkan dana kepada kesatuan sekerja untuk melaksanakan program.

Dewan juga turut dimaklumkan kesatuan sekerja boleh ditubuhkan sekiranya golongan pekerja digajikan dibawah suatu kontrak perkhidmatan dengan majikan.

"Namun demikian, bagi pekerja-pekerja sektor e-hailing yang berada dibawah kontrak untuk perkhidmatan, mereka bukanlah seorang pekerja menurut definisi Akta Kesatuan Sekerja 1959.

"Sehubungan itu, mereka tidak boleh menubuhkan dan menganggotai kesatuan sekerja", ujar Sivakumar.

Sivakumar memberi jaminan isu berkenaan boleh diselesaikan sekiranya takrif pekerja dipinda dibawah Akta Kerja 1955.

Sementara itu, RUU Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2023, turut diluluskan dengan lebih suara bersetuju.

RUU berkenaan, bagi menggubal akta mengawal selia penggunaan cekap dan konservasi tenaga.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata rang undang-undang berkenaan berkait rapat dengan inisiatif peralihan tenaga ke arah mencapai aspirasi pelepasan gas rumah kaca, GHG bersih sifar, menjelang 2050 oleh sektor berkaitan tenaga.

Menurut Nik Nazmi, kerajaan juga sedia memberi penekanan daripada aspek pengurusan permintaan tenaga khususnya penggunaan tenaga dengan cekap dan berkesan.

Melalui penguatkuasaan RUU itu ke atas sektor industri, komersial dan domestik, kerajaan dijangka menjimatkan penggunaan tenaga.

"Apabila kita melihat tarif elektrik semakin tinggi sebelum ini, banyak syarikat-syarikat sebenarnya telah melaksanakan langkah-langkah kecekapan tenaga dan juga langkah-langkah memasang tenaga boleh baharu seperti tenaga solar kerana bil mereka turut meningkat.

"Maka, syarikat-syarikat ini telah beralih kepada langkah-langkah penjimatan tersebut", katanya.

Selain itu, Nik Nazmi berkata kementeriannya turut bersetuju bagi memperkasakan lagi Suruhanjaya Tenaga (ST).

"Jabatan kecekapan dan konservensi tenaga dalam Suruhanjaya Tenaga (ST) perlu ada, selain dari elemen-elemen lain untuk ST berdepan dengan situasi komersil yang semakin kompetetif dalam sektor tenaga", katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Tambah Nik Nazmi, RUU berkenaan juga 1,000 peluang pekerjaan baharu sebagai pengurus tenaga berdaftar dan juruaudit tenaga berdaftar iaitu tambahan kepada pengurus tenaga sedia ada.



(FOTO HIASAN)

Media Baharu