KUALA LUMPUR, 23 Mei - Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Keseksaan (Pindaan) 2023 bagi memansuhkan kesalahan percubaan bunuh diri.
Timbalan Menteri di JPM (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh dalam sesi penggulungan berkata pindaan itu bertujuan meminda Akta Kesihatan Mental 2001 (Akta 615).
Ia susulan pemansuhan kesalahan percubaan bunuh diri di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan (Akta 574).
Pindaan menyentuh kuasa penyelamatan individu yang cuba membunuh diri kata beliau yang juga ahli parlimen Bukit Gelugor.
"Perkataan tangkapan yang digunakan bawah akta ini adalah perlu diambil dalam konteksnya, iaitu konteks di sini ialah untuk menyelamatkan seseorang mangsa, bukannya untuk menangkap mangsa tersebut.
"Seksyen 11 ini niatnya adalah jelas ialah untuk menyelamatkan seorang yang mungkin mempunyai kecelaruan mental, tetapi juga subseksyen b yang menyatakan bahawa orang yang perlu diselamatkan iaitu seseorang yang ingin membunuh diri, " katanya.
Dalam pada itu beliau menjelaskan, pelbagai usaha dilakukan dalam menangani kes percubaan membunuh diri.
Antaranya, Kementerian Kesihatan (KKM) telah membangunkan Model Latihan Pencegahan Bunuh Diri, bagi pasukan Pegawai 'Intervensi Crisis'.
Pasukan tersebut dianggotai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Maritim Malaysia.
"Latihan di peringkat kebangsaan telah dilaksanakan pada tahun 2022, yang melibatkan lebih 50 orang anggota polis, dan juga bomba. Modul latihan ini juga termasuk kemahiran berkomunikasi," tambahnya
Selain itu, KKM turut menyediakan empat institusi kesihatan mental khusus bagi individu yang memerlukan pemeriksaan.
Malah KKM turut membangunkan 'The National Suicide and Fatal Injury Registry' yang dijangka siap pada akhir tahun ini.
"Empat institusi mental telah menyediakan perkhidmatan penilaian kesihatan mental peribadi yang mana bagi individu-individu yang memerlukan pemeriksaan tersebut akan diletakkan bawah pakar-pakar psikiatri yang bertauliah.
"Orang yang dituduh mesti menjalani pemeriksaan ini bawah perintah mahkamah dan laporan pakar akan disediakan dalam tempoh sebulan," jelasnya lagi.
KKM turut bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi Program Minda Sihat Sekolah.
Ia bertujuan memperkasa aspek psikososial dan kesejahteraan emosi serta menerapkan ilmu kemahiran dan daya tindak dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.
Sementara itu, beliau turut menjelaskan bagi kes percubaan membunuh diri membabitkan individu beragama Islam, pendekatan psikososial dan intervensi perkhidmatan KKM digunakan.