(Foto BERNAMA)
LANGKAWI, 23 Mei- Isu pertahanan dan kesiapsiagaan maritim negara khususnya tentera laut menjadi keutamaan dalam menangani ancaman di perairan Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau akan melihat keperluan itu berdasarkan keputusan yang dibuat mengikut keupayaan negara menguruskan isu berkenaan.
"Malaysia adalah sebuah negara maritim. Keseluruhan perairan itu membentuk negara Malaysia. Oleh yang demikian, soal pertahanan dan kesiapsiagaan maritim khususnya tentera laut menjadi keutamaan," katanya kepada pemberita ketika menghadiri program 'Fleet Review' sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA'23) di sini.
'Fleet Review' ialah suatu acara perhimpunan kapal-kapal daripada tentera laut negara tertentu yang disaksikan oleh ketua negara dan orang kenamaan awam serta tentera.
Dalam pada itu, Anwar hari ini menerima kunjungan hormat dan mengadakan mesyuarat bersama Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto di sini.
Kedua-dua pemimpin itu membincangkan isu berkepentingan bersama merangkumi hubungan dua hala dan serantau.
Prabowo kini dalam lawatan khas ke Malaysia sempena LIMA '23 yang bermula hari ini hingga 27 Mei.
(Foto BERNAMA)