KUALA LUMPUR, 24 Jun - Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Rakyat hari ini dimulakan dengan bertafakur selama seminit bagi menghormati dan memperingati pemergian Yang di-Pertua Dewan Negara, Datuk Mutang Tagal.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, menyifatkan mendiang sebagai seorang pemimpin yang komited dalam usaha mereformasikan institusi Parlimen dan amat prihatin akan kebajikan rakyat.
"Mendiang juga merupakan mantan Ahli Dewan Rakyat bagi kawasan Bukit Mas dari tahun 1982 hingga 1990. Mendiang merupakan seorang pemimpin yang komited dalam usaha mereformasi institusi
Parlimen Malaysia dan amat prihatin akan kebajikan rakyat Malaysia," kata Johari.
Mendiang Datuk Mutang meninggal dunia pada 10 Mei lalu di Institut Jantung Negara (IJN).
Senator itu dipilih menjadi Yang Dipertua Dewan Negara yang ke-20 dan mengangkat sumpah di Dewan Negara pada 19 Februari 2024.
Mendiang menggantikan Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang meletak jawatan susulan dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada 26 Januari lepas.
Dewan turut merakam ucapan takziah buat keluarga, tokoh politik Tan Sri Joseph Kurup yang telah meninggal dunia pada 17 April lalu.
Mendiang merupakan mantan Ahli Dewan Rakyat bagi kawasan Pensiangan dan pernah menjadi Anggota Pentadbiran Persekutuan di beberapa kementerian.