fb fb fb fb fb

Isu jalan gelap: 170 tiang lampu akan dipasang September ini- Onn Hafiz

Isu kemalangan jalan raya yang tular dari Perling menghala ke Lebuhraya Pasir Gudang berpunca daripada ketiadaan lampu jalan di laluan berkenaan.

PASIR GUDANG, 24 Jun- Sebanyak 170 tiang lampu akan dipasang di kilometer 2.6 Jalan Pasir Gudang sehingga ke kilometer 9.4 Lebuhraya Pasir Gudang menghala ke Perling, pada September ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata ia susulan kemalangan yang berlaku pada 18 Jun lalu, yang dipercayai akibat tiada lampu jalan di kawasan itu. 

Jelas beliau projek pencahayaan lampu jalan di kawasan itu merupakan bidang kuasa Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

"Saya juga dimaklumkan jalan tersebut juga terlibat dalam projek pelebaran Lebuhraya Pasir Gudang (Fasa 3) yang ketika ini sedang dalam proses pelantikan perunding oleh Kementerian Kewangan. Projek ini akan dilaksanakan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) dan dijangka bermula awal tahun 2025," katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
 
Onn Hafiz turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada MBJB dan KKR atas inisiatif baik tersebut.

"Saya amat berharap agar kerja-kerja menaiktaraf ini dapat dilakukan dengan kadar segera bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang.

"Semoga usaha ini dapat mewujudkan sistem rangkaian jalan raya yang lebih kondusif dan selamat buat semua pengguna. Insya-Allah," katanya.

ZEHRA BINTI ZAMBRI