fb fb fb fb fb

Korea Utara kritik tindakan AS lanjutkan sokongan terhadap Ukraine

Foto REUTERS

SEOUL,24 Jun-Pegawai Tertinggi Tentera Korea Utara pada Isnin mengkritik tindakan Amerika Syarikat (AS) yang melanjutkan bantuan ketenteraan terhadap Ukraine.

Sebelum ini, Washington dan Seoul bimbang engan kerjasama ketenteraan yang semakin erat antara Rusia dan Korea Utara dan menuduh kedua-dua negara melanggar undang-undang antarabangsa dengan memperdagangkan senjata untuk kegunaan Rusia menentang Ukraine.

Namun, Moscow dan Pyongyang telah menafikan tuduhan berkenaan.

Tuduhan berkenaan dikuatkan lagi dengan perjanjian yang ditandatangani oleh Putin dan Kim Jong Un semasa lawatan ke Pyongyang minggu lalu.

Perjanjian itu menegaskan Korea Utara dan Rusia komited membantu satu sama lain dari sudut bantuan ketenteraan sekiranya berlaku pencerobohan bersenjata.

Penganalisis mengatakan bahawa perjanjian berkenaan akan meletakkan rangka kerja untuk perdagangan senjata antara kedua-dua negara menentang AS dan barat.

Salah seorang pegawai tinggi tentera Korea Utara, Pak Jong Chon berkata Rusia mempunyai "hak untuk memilih sebarang jenis serangan balas" dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh KCNA pada Isnin sambil menambah kedegilan Washington menjadikan Ukraine sebagai 'kambing hitam' dalam perang menentang Rusia bakal mencetuskan tindak balas yang dahsyat daripada Moscow dan mencetuskan perang dunia yang baharu.

Jong Chon merujuk kepada komen Pentagon minggu lalu bahawa tentera Ukraine boleh menggunakan senjata yang dibekalkan AS untuk menyerang tentera Rusia di mana-mana sahaja merentasi sempadan ke Rusia.

Pegawai kanan Korea Selatan, A.S. dan Jepun mengutuk sekeras-kerasnya kerjasama ketenteraan antara Korea Utara dan Rusia dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh kementerian luar Seoul pada Isnin.

Sementara itu, perjanjian pertahanan bersama Putin dan Korea Utara berpotensi menimbulkan pergeseran dengan China, yang telah lama menjadi sekutu utama negara terpencil itu, kata pegawai tertinggi tentera AS pada Ahad.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD