KUALA LUMPUR, 13 Disember- Dewan Negara secara sebulat suara meluluskan Rang Undang Undang Kewangan (No. 2) 2023 hari ini, yang bertujuan menguatkuasakan cadangan langkah cukai sepertimana diumumkan dalam Belanjawan 2024.
Ia diluluskan selepas bacaan kali ketiga oleh Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying.
Terdahulu ketika membentangkannya, Lim berkata berkata cadangan penguatkuasaan tersebut turut melibatkan Cukai Keuntungan Modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai dan Cukai Minimum Global serta pelaksanaan e-Invois.
“Secara keseluruhannya, Rang Undang-Undang itu mengandungi 142 Fasal yang dibahagikan kepada 15 bab bagi meminda 14 Akta Cukai Langsung dan Cukai Tidak Langsung,” katanya.
Lim berkata pindaan itu akan melibatkan masing-masing Akta Cukai Pendapatan 1967 (Akta 53); Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976 (Akta 169); Akta Setem 1949 (Akta 378); Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967 (Akta 543); Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan 1990 (Akta 445); dan Akta Duti Hiburan 1953 (Akta 103).
Kerajaan juga mencadangkan pindaan bagi Akta Kastam 1967 (Akta 235); Akta Eksais 1976 (Akta 176); Akta Levi Kenderaan Barang-Barang 1983 (Akta 294); Akta Levi Keuntungan Luar Biasa 1998 (Akta 592); Akta Cukai Pelancongan 2017 (Akta 791); Akta Cukai Jualan 2018 (Akta 806); Akta Cukai Perkhidmatan 2018 (Akta 807) dan Akta Levi Pelepasan 2019 (Akta 813).
Dewan Rakyat sebelum ini telah meluluskan Rang Undang-Undang Kewangan 2023 bagi menguatkuasakan langkah-langkah cukai selain melaksanakan keputusan kerajaan berkenaan penambahbaikan pentadbiran cukai pada 3 April lepas.