SUNGAI PETANI, 21 MAC - Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itulah kisah sedih yang dialami oleh Nur Assila Mat Isa, 33 tahun terpaksa akur dengan kehidupannya selepas disahkan menghidap kanser otak tahap tiga pada Januari lalu.
Disifatkan sebagai seorang yang sentiasa ceria dan mesra dengan sesiapa sahaja, perwatakan Nur Assila berubah sekelip mata.
Nur Assila turut disahkan menderita jangkitan kuman pada paru-paru selain bahagian belakang pinggulnya terpaksa dibedah bagi membuang kuman yang merebak.
Dia juga ibu kepada dua orang anak lelaki dan perempuan masing-masing berusia 5 dan 9 tahun, kini hanya mampu terlantar di atas katil di rumah ibu mentuanya di Kampung Pantai Prai, Padang Serai daerah Kuala Muda.
Ibu mentuanya, Sabariah Ali Musa, 59, berkata, menantunya itu sebelum ini tinggal di Kem Kemunting, Taiping, Perak bersama suami, Azril Nizam Azhar, 33 tahun yang bekerja sebagai anggota tentera.
Namun sejak disahkan menghidap kanser otak tahap tiga, Nur Assila dibawa pulang ke rumahnya untuk menjalani rawatan lanjut bagi memudahkan penjagaan rapi oleh ahli keluarganya.
Selepas menjalani pembedahan membuang tempurung dibahagian kepala pada awal Januari lalu, Nur Assila kini menjalani proses pembedahan kecil bagi mencuci bahagian pinggul setiap hari oleh doktor pakar dari pusat perubatan swasta.
"Masa hari kejadian, Nur Assila terlampau sakit kepala sehingga dia meronta-ronta, bukan itu sahaja, dia turut muntah banyak.
"Kami bawa dia ke unit kecemasan di Hospital Taiping, kemudian pegawai perubatan bawa dia ke Hospital Ipoh untuk pembedahan kepala. Sebab hospital nak tahu sama ada dia ada ketumbuhan cyst atau kanser.
"Selepas menunggu keputusan selama dua minggu, kemudian doktor sahkan dia kanser tahap tiga.
"Doktor bedah Hospital Ipoh memutuskan untuk menyimpan sebahagian tempurung kepalanya di dalam abdomen dia," kata ibu mentua Nur Assila kepada RTM di sini hari ini.
Ibu mentuanya berkata, kos pembedahan mencecah sehingga RM20,000 dan mereka akui tidak mampu menanggung kos perubatan tersebut.
Prihatin dengan nasib yang menimpa Nur Assila, Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Sidam, Firdaus Yusoff turut menghulurkan sumbangan wang tunai, lampin pakai buang dewasa dan susu formula untuk kegunaan harian Nur Assila.
Beliau berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat, (JKM) telah meluluskan bantuan bulanan bagi meringankan beban yang dialami oleh keluarga berkenaan.
“Kita juga turut mengalu-alukan kepada pihak luar, individu atau mana-mana pertubuhan, persatuan yang mungkin ada kemampuan dan berniat untuk membantu pesakit boleh terus berhubung dengan waris beliau (Nur Assila)," katanya kepada RTM selepas melawat Nur Assila.
Orang ramai yang bersimpati dan ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkan menerusi akaun Bank Islam milik Salfariza Azhar bernombor 0704 3026 9367 25 atau menghubungi Salfariza ditalian 011-73740809.