fb fb fb fb fb

Defisit keyakinan terhadap keupayaan negara perlu ditangani - Agong

(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri dan isteri, pada sambutan
Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi di Istana Negara)


KUALA LUMPUR, 6 Jun- Sebarang Defisit Keyakinan yang wujud terhadap keupayaan negara perlu segera ditangani bagi membolehkan negara bangkit semula di persada dunia.

Ke arah itu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah negara memerlukan sebuah kerajaan yang stabil selain didukung oleh sistem penyampaian perkhidmatan dan tadbir urus yang cekap, telus, berintegriti, mesra perniagaan dan mesra rakyat.

"Demi untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi dan menjadikan negara sebagai pilihan pelaburan utama di rantau ini, menuntut persefahaman dan pengorbanan semua pihak untuk mewujudkan landskap politik yang stabil dan berterusan.

"Beta benar-benar berharap agar segala percaturan politik dapat diselesaikan segera demi untuk mengelak negara dari terjerumus ke kancah 'defisit keyakinan' yang boleh menjejaskan imej dan masa  hadapan negara,” titah Yang di-Pertuan Agong.

Seri Paduka bertitah sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi di Istana Negara di sini hari ini. 

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa syukur berhubung prestasi negara pada tahun lepas yang telah mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang semakin baik.

(Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
bertitah sebarang 
defisit keyakinan yang wujud terhadap keupayaan negara perlu segera ditangani
bagi membolehkan negara bangkit semula di persada dunia
)

Seri Paduka bertitah perkara itu dicapai melalui strategi pengurusan kesihatan yang berkesan dan persefahaman politik sekali gus negara boleh kembali mengorak langkah untuk menjayakan agenda pembangunan.

"Situasi COVID-19 juga telah semakin pulih. Negara kini telah memasuki ke fasa peralihan ke endemik, beta merasa amat sukacita melihat rakyat beta daripada berbilang bangsa dan agama lebih positif dalam menjalani kehidupan seharian,” titah Al-Sultan Abdullah.

Seri Paduka turut menyambut baik pembukaan semula sempadan negara bermula pada 1 April lepas yang dilihat mampu untuk menjana dan memulihkan semula ekonomi negara. 

“Langkah ini diambil setelah kerajaan beta mengimbangi strategi pengurusan kesihatan, berbanding dengan pemulihan semula ekonomi negara yang terjejas sebelum ini.

"Bagi memastikan kelangsungan dan ketahanan ekonomi pasca pandemik COVID-19, kerajaan harus terus bijak mengatur langkah dan mengambil peluang dengan meneroka pelbagai strategi baharu yang berinovatif," Al-Sultan Abdullah bertitah

Seramai 1,021 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2022 manakala 45 individu menerima pingat dan darjah kebesaran masing-masing pada istiadat pengurniaan bersempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong.

Media Baharu