fb fb fb fb fb

Debat Generasi Madani bina pelajar berfikiran kritis

Pertandingan Debat Generasi Madani dilihat sebagai usaha berterusan kerajaan dalam melahirkan generasi berfikiran kritis serta memiliki kemahiran komunikasi berkesan

GEORGE TOWN, 10 September – Pertandingan Debat Generasi Madani dilihat sebagai usaha berterusan kerajaan dalam melahirkan generasi berfikiran kritis serta memiliki kemahiran komunikasi berkesan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata inisiatif itu selari dengan hasrat kerajaan melahirkan pelajar bukan sahaja cemerlang akademik, malah holistik dalam bidang kokurikulum dan kemahiran insaniah.

1009 PP PERTANDINGAN DEBAT GENERASI MADANI 2Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow

“Pertandingan debat seperti ini bukan sekadar mencari pemenang, tetapi wadah penting dalam pembentukan generasi Madani – generasi yang mampu berfikir kritis, berkomunikasi dengan berkesan, menghormati pandangan berbeza serta berani menyuarakan kebenaran dengan adab dan hikmah,” katanya ketika merasmikan Majlis Penutupan Pertandingan Debat Generasi Madani Piala Menteri Pendidikan Peringkat Kebangsaan 2025, di sini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan (KPM), Ahmad Haridan Mohamed dan Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Mohammad Said Ibrahim.

Ahmad Haridan dalam ucapannya berkata, penganjuran tahun ini tampil berbeza apabila usul perdebatan diberikan secara spontan pada hari pertandingan, sekali gus menguji keupayaan peserta.

1009 PP PERTANDINGAN DEBAT GENERASI MADANI 3Ahmad Haridan Mohamed

“Medium ini melahirkan pendebat dalam kalangan generasi Madani yang berdebat dengan baik, sopan serta mencerminkan pelajar berbakat. Jika diberi peluang dan ruang, mereka mampu menyerlah. Malah, ia berpotensi dijadikan acara tahunan bagi melatih pendebat yang bakal mewarisi negara,” katanya.

Edisi kali ini menyaksikan penyertaan 16 pasukan negeri dan Wilayah Persekutuan. Pusingan akhir dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 22 September depan, melibatkan pertembungan pendebat dari Selangor dan Sabah.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN