KOTA BHARU, 25 Oktober -Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menegaskan penguasaan bahasa Melayu perlu kekal menjadi keutamaan bagi setiap lapisan rakyat negara ini sebelum menguasai bahasa asing lain.
Ahli Lembaga Pengelola DBP Dr Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul Razy berkata usaha memperkasa bahasa kebangsaan bukan bermaksud menolak kepentingan bahasa asing sebaliknya bagi memastikan generasi muda memiliki asas bahasa Melayu yang kukuh sebagai identiti dan teras jati diri bangsa.
“Kita perlu berusaha mengukuhkan bahasa Melayu namun dalam masa sama tidak menjadi kesalahan mempelajari bahasa lain kerana ia penting untuk menyerap ilmu pengetahuan atau memenuhi keperluan pekerjaan.
“Bahasa Melayu tidak boleh ditinggalkan dalam apa jua keadaan kerana ia bukan sekadar alat komunikasi tetapi cerminan minda, nilai dan tamadun bangsa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Lestari Bahasa 2025 sempena Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan 2025 di sini hari ini.
Ahmad Fadhlil berkata penganjuran Karnival Lestari Bahasa itu amat bertepatan dengan situasi semasa di tengah arus globalisasi dan digitalisasi yang mengubah cara masyarakat berinteraksi serta berfikir, justeru usaha memperkasa bahasa Melayu perlu diteruskan agar kekal sebagai bahasa ilmu, ekonomi dan teknologi. - BERNAMA