TAIPING, 25 Oktober - “Air naik mendadak, kami tidak sempat berbuat apa-apa. Hanya sempat selamatkan senjata dan dokumen penting," demikian menurut Koperal Mohd Nur Hassan, anggota Balai Polis Terong yang menyaksikan detik cemas balai itu dilanda banjir Khamis lalu.
Menurut Koperal Mohd Nur, hujan mula turun sejak awal pagi Khamis sebelum bertambah lebat selepas waktu Zohor dan berlarutan hingga petang.
“Hujan tidak berhenti selama lebih dua jam. Air mula naik sekitar pukul 6.30 petang ke 7 malam,” katanya ketika ditemui di Balai Polis Terung, hari ini.
Beliau ketika itu baru pulang dari kawasan Air Terjun Pecah Batu bersama rakan setugas bagi memantau paras air di sungai berhampiran.
“Kami tengok air di atas sudah mula pecah. Kami turun semula ke balai untuk bantu anggota lain dan tidak lama selepas itu, air mula melimpah atas jalan," ujarnya memberitahu air mula melintasi balai berkenaan pada pukul 7.30 malam.
Koperal Mohd Nur dan rakan setugas hanya sempat menyelamatkan barangan penting termasuk senjata api dan dokumen operasi sebelum air mula memasuki kawasan balai.
“Ketika itu, cuma dua orang anggota bertugas. Apabila air sudah mencecah paras lutut, kami mengemas setakat yang sempat," katanya memaklumkan pintu belakang balai tidak dapat ditutup disebabkan arus banjir yang kuat.
Beliau menyifatkan banjir terbabit yang terburuk dialami sejak sembilan tahun bertugas di balai berkenaan.
Susulan kejadian itu, pagar belakang balai tersebut roboh, dua kenderaan pasukan rosak teruk serta tiga unit kuarters polis dinaiki air.
Meskipun terjejas, operasi keselamatan tetap diteruskan oleh anggota bertugas bagi membantu penduduk sekitar yang turut terjejas banjir.
“Banjir boleh datang tiba-tiba, tetapi tanggungjawab dan amanah tetap perlu dilaksanakan. Kami bantu orang kampung, bantu anggota lain yang rumah mereka turut dinaiki air,” katanya.
Kejadian banjir di Balai Polis Terong turut mencuri perhatian ramai apabila video air deras melimpah masuk ke kawasan balai itu tular di media sosial.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Taiping ACP Mohd Nasir Ismail memaklumkan yang dua balai polis bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping terjejas akibat banjir yang melanda sejak Khamis lalu.
ACP Mohd Nasir berkata dua balai terbabit ialah Balai Polis Terong dan Balai Polis Simpang yang masing-masing dinaiki air selain menjejaskan 103 anggota polis dan ahli keluarga yang tinggal berhampiran dua balai berkenaan.
“Walaupun dua balai terjejas, namun operasi keselamatan dan tugas rondaan masih diteruskan. Anggota yang terlibat tetap menjalankan tanggungjawab membantu kerja menyelamat masyarakat setempat,” katanya.