KUALA LUMPUR, 19 Mei- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini giat melaksanakan integrasi teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dalam pelbagai aspek pengurusan bandar pintar, selaras dengan usaha mempercepatkan pemodenan infrastruktur dan perkhidmatan bandar.
Menurut Kementerian Digital, dua inisiatif utama yang sedang dilaksanakan ialah Inisiatif Kembar Digital (Digital Twin) dan Pengurusan Trafik Berkuasa AI.
Digital Twin merupakan model maya bandar yang membolehkan simulasi masa nyata digunakan untuk perancangan lebih efektif serta tindak balas kecemasan yang lebih pantas.
Sementara, sistem trafik pintar berasaskan AI menggunakan analitik masa nyata bagi mengoptimumkan aliran trafik dan mengesan insiden secara proaktif, sekali gus mengurangkan kesesakan serta meningkatkan keselamatan jalan raya.
“Penggunaan AI di bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur kini memainkan peranan penting dalam mempercepatkan pemodenan bandar. Ia bukan sahaja meningkatkan kecekapan pengurusan tetapi juga menyumbang secara langsung kepada peningkatan kualiti hidup warga kota,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif memperluaskan penerimagunaan teknologi digital termasuk AI dan 5G, Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong hari ini mengadakan lawatan kerja ke Kuala Lumpur Command and Control Centre (KLCCC) (KLCCC), bersama pengurusan kanan kementerian dan agensi berkaitan.
Kementerian Digital turut mengumumkan Smart City Expo Kuala Lumpur (SCEKL 2025) akan dianjurkan dari 17 hingga 19 September ini, dengan kerjasama Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Digital Nasional Berhad (DNB). Ekspo tersebut dijangka menjadi platform utama untuk mempamerkan aspirasi serta pencapaian negara dalam bidang bandar pintar.
Dalam masa sama, liputan rangkaian 5G negara yang kini telah melebihi 82 peratus turut membuka ruang yang lebih luas untuk aplikasi berasaskan AI diterapkan dalam pelbagai sektor ekonomi dan sosial.
MDEC turut menyatakan komitmen mereka untuk terus menjadikan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam pembangunan bandar pintar dan transformasi digital melalui pelbagai inisiatif strategik berfokuskan teknologi masa hadapan.