LANGKAWI, 19 Mei- Kementerian Komunikasi berpuas hati dengan kemajuan projek pembinaan bangunan Penyiaran RTM Langkawi yang mencapai kemajuan 49 peratus dan dijangka siap pada September depan.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, pihak kontraktor sedang berusaha menyiapkan projek tersebut dalam tempoh masa yang ditetapkan.
"Dua tahun yang lalu bangunan Penyiaran RTM Langkawi berada dalam keadaan yang sangat tidak memuaskan dan dianggap sebagai projek sakit.
"Alhamdulliah hari ini setelah kita mengambil tindakan tegas dengan menamatkan kontraktor lama dan melalui proses bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk melantik kontraktor penyelamat, kita boleh lihat hari ini kemajuanya sangat menggalakan dan dijangka siap seperti dijadualkan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tapak projek bangunan baharu Jabatan Penyiaran Langkawi di Kampung Buluh Penyumpit, Kuah di sini hari ini.
Lawatan berkenaan turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa; Pengarah Penyiaran Kedah, Nurhafizoh Idris; Timbalan Pengarah Penyiaran Langkawi, Shamshina Mohammed Said serta Pengarah JKR Kedah, Mohd Fisol Ismail.
Bangunan yang bernilai kira-kira RM 11.4 juta itu akan dilengkapi ruang pentadbiran seperti pejabat, bilik pegawai, bilik tetamu, bilik Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), bilik mesyuarat, stor, surau, kafeteria, parkir kenderaan dan sebagainya.
Selain itu ia juga termasuk ruang teknikal penyiaran (broadcast engineering) seperti studio siaran dan rakaman radio, bilik suntingan, bilik kawalan utama dan studio berita TV.
Sebelum ini pada Mei 2023, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil telah turun padang bagi melihat sendiri perkembangan projek pembinaan bangunan tersebut.