KUALA LUMPUR, 9 Mei- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertindak menyita beberapa barangan peniaga terdiri daripada kerusi, meja, dan lain-lain peralatan selepas ia diletakkan di laluan awam tanpa kebenaran di sekitar Brickfields.
Gerakan tertumpu di sekitar Jalan Tun Sambanthan dan Jalan Thambipillay itu menyaksikan lapan tindakan sitaan diambil, manakala dua notis penguatkuasaan dan satu notis trafik dikeluarkan terhapa peniaga terbabit.
DBKL menerusi kenyataannya di Facebook memaklumkan, operasi dijalankan terhadap peniaga yang meletakkan kerusi dan meja serta lain-lain peralatan di laluan awam tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan itu.
“Tindakan sitaan dan notis dikeluarkan mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 dan Undang-Undang Kecil (UUK) 3(1) Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016,” menurut hantaran itu.
Antara barangan disita adalah meja, kerusi plastik, kanopi, barang perhiasan wanita dan lain-lain peralatan.
“Tindakan dan pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa di lokasi yang dikenal pasti,” katanya lagi.